Sukar untuk memahami perasaan dan hati orang lain sedangkan hati sendiri juga sukar untuk difahami. Kadang-kadang kita selalu melebihkan perasaan manusia daripada kehendak Tuhan sendiri, sedangkan kita tahu bahawa Allah itu punya cemburu yang teramat sangat terhadap hamba-Nya. Kerana itu, apabila manusia melakukan perbuatan keji, Allah akan cemburu dan berpaling daripadanya. Iyazan Billah.
Allahu Allah . Rugi benar andai kita dipalingkan dari-Nya bukan. Terkadang saat bercinta misalnya, semua di mata indah. Yang dosa dianggap pahala, yang berat dianggap ringan. Ya Allah , alphanya. Lalu kita bertanya sendiri, di manakah kita meletakkan Allah dalam kehidupan kita.
Saya tidak menuding jari pada sesiapa, cukuplah andai saya sendiri mengajukan pertanyaan tersebut buat diri saya sendiri. Justeru memang sepatutnya kita menuding kepada diri sendiri. Lalu bertanya setiap detik, “ Adakah Allah suka apa yang aku lakukan ini”
Sesungguhnya dunia ini medan fitnah, anak, isteri, suami, harta dan segala yang ada di dunia hanya fitnah untuk menguji kita yang bersifat lupa sesuai dengan namanya ‘INSAN’.
Justeru, apabila ditimpa kegembiraan dan kebahagiaan, adakah kita masih mengingati Allah dan bersyukur lalu bertambah-tambah keimanan kita?
- Ataukah setelah ditimpa kedukaan dan kekecewaan kita semakin mendekati Allah
- Ataukah terjadi sebaliknya lalu semakin bertambah jauh dari rasa redha kepada takdir-Nya?
- Ingatlah selalu, jiwa yang akan dijemput ke syurga dengan tenang adalah jiwa yang mana Allah
Firman Allah swt yang bermaksud:
“ Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dengan hati yang redha (kamu redha kepada Allah ) dan diredhai-Nya (Allah redha kepada kamu). Maka masuklah ke dalam golongan hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku” ( surah al-Fajr: 27-30)
Ya, untuk menjadi seseorang yang Allah redha kepadanya mungkin boleh digapai dengan ketaatan dan meninggalkan segala larangan Allah .
Namun bagaimana pula dengan REDHA KITA ? Redha kita kepada takdir Allah . Semua takdir-takdir yang BAIK dan BURUK walaupun sebenarnya di sebalik yang kita lihat buruk di nilaian kita adalah baik buat kita.
BELAJAR UNTUK BERSYUKUR
Bersyukurlah andai ditimpa ujian, kepedihan ataupun dihadirkan dengan ujian berupa seseorang yang boleh sahaja seringkali menyakiti hati kita lalu kita mahu bersabar dengannya.
Ataupun ketika ditimpa ujian dengan kehilangan insan sehingga menyebabkan tersepit hidup kita, lalu kita masih boleh tersenyum ketika ada insan lain yang menghulurkan nasihat, senyuman dan pujukan buat kita.
SubhanAllah, semakin melangit martabat insan-insan ini hanya dengan UJIAN dan KESABARAN. Mudah meraih redha apabila Allah timpakan ujian buat kita. Justeru dengan ujian-ujian itu sepatutnya kita ambil ia sebagai cara untuk semakin mendekat, jiwa semakin tenang dan kebergantungan serta keyakinan terhadap takdirnya semakin mengukuh.
Semoga kita semua diberikan kekuatan andai di tengah perjalanan kehidupan ini sekali-sekala kita tersadung di kayu ujian. InsyaAllah.
Mari kita belajar untuk bersyukur.
No comments:
Post a Comment