BILAKAH
kali terakhir anda marah dan kepada siapakah anda tujukan kemarahan itu? Sudah
berapa banyak hati yang terluka dengan kemarahan anda itu?
Bukan
tidak boleh marah namun kadang-kadang marah itu menjadi wajib. Nabi pun pernah
marah apabila agamanya dipermainkan. Bila ada pelanggaran hukum Allah nabi
menampakkan kemarahannya.
Buruk
sangat marah dilakukan kerana nafsu. Ja’far bin Muhammad mengatakan, “Marah
adalah pintu segala kejelekan.” Dikatakan kepada Ibnu Mubarak, “Kumpulkanlah
untuk kami akhlak yang baik dalam satu kata! Beliau menjawab, “Meninggalkan
amarah.”
Demikian juga Imam Ahmad dan Ishaq menafsirkan bahawa akhlak yang baik adalah
dengan meninggalkan amarah. Orang yang marah tidak tentu pasal tidak perasan ke
buruknya muka orang marah.
Raut wajahnya berubah, darahnya meluap, anggota menggeletar, urat-urat lehernya
menegang, pergerakannya kelam kabut, percakapannya tidak jelas, lidahnya mudah
mengeluarkan kata keji, mengumpat, mengutuk dan kemungkinan mengeluarkan kata
haram yang boleh mengeluarkannya daripada Islam seperti lafaz kufur, mencela
agama dan seumpamanya.
Selain daripada itu, seorang yang cepat marah akan melakukan tindakan di luar
dugaan yang berkemungkinan akan membabitkan kerugian harta dan kesakitan pada
tubuh badan.
Yang parah lagi, marah terhadap masyarakat, ia melahirkan perasaan dengki
di dalam diri dan menyembunyikan niat jahatnya terhadap seseorang.
Ia boleh membawa kepada perbuatan menyakiti orang lain dan membenci serta
merasa gembira apabila mereka ditimpa musibah. Seterusnya akan mencetuskan
permusuhan dan kebencian di antara sesama manusia.
Maka, rosaklah kehidupan dan runtuhlah masyarakat. Ada seperkara lagi yang
selalu kita lakukan ketika marah, padahal perkara itu amat membahayakan diri
sendiri sebelum ia membahayakan diri orang lain.
Mungkin kita menyedari perbuatan itu salah, tetapi kerana terlalu terpengaruh
dengan marah kita tidak dapat menimbang lagi segala kata-kata yang diucapkan
oleh lidah.
Kata-kata itu seperti melaknati orang, mencelakakan orang dan sebagainya. Sebab
jika kita menyebutkan kata-kata yang tidak senonoh itu kepada orang lain,
seolah-olah kita menuduhnya dengan ucapan kita itu.
Andai kata apa yang diucapkan itu memang benar, nescaya kita melanggar perintah
menyuruh kita menutup segala keaiban orang lain. Orang yang mendedahkan keaiban
saudaranya adalah berdosa besar di sisi Allah sekalipun perkara yang dituduhnya
itu memang benar. Apatah lagi jika tidak benar, maka dosanya akan
bertimpa-timpa lagi. Ada setengah ulama menganggap ucapan seperti ‘sial’,
‘laknat’, ‘celaka’ dan seumpamanya sebagai doa, kerana ada sebuah hadis
daripada Rasulullah yang melarang perbuatan seperti itu, nescaya bencana ucapan
itu akan menimpa orang yang ditujukan ucapan itu, kiranya dia memang patut
menerima bencana itu pada ukuran Allah.
Tetapi kiranya dia tidak patut menerimanya, maka bencana itu akan kembali
menimpa ke atas orang yang memberi ucapan itu.
Diriwayatkan dari Jabir, beliau berkata: “Suatu masa kami bersama-sama
Rasulullah sedang menuju ke medan perang, tiba-tiba ada seorang Ansar merasa
tidak selesa terhadap binatang kenderaannya, lalu dia menyumpah-nyumpah
binatang itu: Jalanlah, laknat! Maka baginda marah kepada orang Ansar itu lalu
bersabda: Turunlah dari binatang itu! Jangan engkau biarkan ia ikut
bersama-sama kita, kerana ia mendapat laknat. Kemudian Baginda bersabda lagi:
Janganlah engkau mendoakan (kecelakaan) ke atas dirimu atau ke atas anak-anakmu
atau ke atas harta bendamu, kerana dikhuatiri bertepatan pada saat doa
mustajab, di mana setiap hamba yang memohon (berdoa) sesuatu dari Tuhan akan
dikabulkan”.
Di sini mari kita berkongsi sedikit tip untuk merawat sifat marah yang
berasaskan nafsu atau baran. Sebenarnya penyakit marah yang dicela itu boleh
diubati dengan dua perkara iaitu ilmu dan amal.
Mengubati marah dengan ilmu itu ada enam perkara:
·
Bertafakur memikirkan kisah teladan yang menyentuh buruk baiknya
bersifat marah, berfikir keutamaan menahan kemarahan, memberi maaf dan berlemah
lembut.
Dengan cara itu, akan menjadikannya gemar dan suka kepada pahala yang bakal
diperoleh dari menghiasi diri dengan sifat tadi. Seterusnya dapat mencegahnya
dari bersifat marah.
·
Seseorang itu menakutkan dirinya kepada seksaan Allah dengan mempercayai
bahawa kekuasaan Allah ke atas dirinya lebih besar dari kekuasaannya ke atas
manusia lain.
·
Mengingatkan diri akibat permusuhan dan pembalasan dendam.
·
Berfikir mengenai bentuk buruk dirinya ketika dia marah dan berfikir
betapa kejinya sifat marah itu.
·
Berfikir sebab yang membawanya kepada kemarahan.
· Menyedari
kemarahannya berpunca dari sikap membanggakan diri sendiri yang tidak sesuai
dengan kehendak Allah.
Sementara itu, mengubati marah dengan amal perbuatan pula ialah dengan membaca
doa: “Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang kena rejam.
Begitu juga sunat dibaca doa itu ketika marah, ertinya: “Wahai Tuhanku, Tuhan
Nabi Muhammad, ampunilah dosaku, hilangkanlah kemarahan hatiku dan lepaskanlah
aku dari fitnah-fitnah yang menyesatkan”.
Jika kemarahan itu tidak hilang dengan membaca ayat itu , maka hendaklah seseorang
itu duduk jika dia marah dalam keadaan dia berdiri, (berdiri sebenarnya keadaan
bersedia untuk bertindak sebab itu Rasul suruh duduk sebab duduk kurang sedikit
kemahuan bertindak ganas. Begitu juga disuruh baring sebabnya ketika baring
sudah tidak ada keupayaan untuk bertindak.
Dekatkan diri dengan bumi, yang mana dari bumi itulah dia dijadikan dan supaya
dia tahu kehinaan dirinya. Kemudian carilah dengan duduk dan berbaring itu
ketenangan.
Rasulullah bersabda yang maksudnya, “Ingatlah sesungguhnya marah itu adalah
bara api di dalam hati anak Adam. Tidakkah engkau melihat kepada kedua matanya
yang merah dan urat-urat lehernya yang membengkak? Apabila salah seorang kamu
mengalami yang demikian, maka hendaklah dia melekatkan dirinya ke bumi”
Selain itu, cara menghilangkan marah juga ialah dengan mendiamkan diri.
Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Apabila seseorang di antara kamu marah,
maka hendaklah dia diam.
Oleh kerana kesan tercela yang ditimbulkan sifat marah itu, Rasulullah
menganjurkan umat manusia supaya jangan suka marah. Ia tidak akan mendatangkan
perkara yang baik kepada diri.
Malah, menyebabkan pelbagai bencana terutama sekali perasaan marah itu
diletakkan bukan pada tempatnya. Selain itu, orang yang suka marah sering
ditunggangi syaitan yang memaksakan kehendaknya ke atas orang yang marah itu.
Manakala orang yang menurut kehendak syaitan tidak akan selamat di dunia dan di
akhirat.